MUNSYI MENULIS
Dunia era globalisasi kini memperlihatkan perkem-bangan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam teknologi maklumat memberi kesan secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan dan sistem pendidikan. Perubahan demi per-ubahan yang berlaku itu turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh para guru Bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring dengan perkembangan dunia semasa.
Masyarakat bandar kini yang semakin mementingkan Bahasa Inggeris telah menyebabkan pembelajaran Bahasa Melayu semakin tercabar. Tugas guru yang sedia ada dalam memberikan pengajaran dan bimbingan pengetahuan tentang bahasa Melayu serta tugas pentadbiran lain, kini menggalas satu lagi peranan baharu bagi menanamkan keyakinan terhadap bahasa kebangsaan ini. Justeru, guru perlu kreatif dan inovatif dalam mencari dan mengubah suai pendekatan agar selari dengan keperluan pelajar. Dalam masa yang sama guru juga perlu bijak dalam memupuk sikap cintakan bahasa kebangsaan kepada pelajar yang telah dimomokkan dengan kepentingan bahasa Inggeris agar tidak menimbulkan konflik lain.
Selari dengan keyakinan terhadap bahasa Inggeris yang tinggi, hal ini telah membawa kepada per-ubahan sikap yang ketara dalam kalangan pelajar terhadap Bahasa Melayu. Guru menggalas beban dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu lebih lancar dan tersusun agar diminati oleh para pelajar. Dengan itu, bahasa yang disampaikan perlu disesuaikan dengan aliran dan keperluan semasa.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu khususnya pengajaran kemahiran menulis memerlukan contoh-contoh sesuai yang terbaik dan menggunakan Bahasa Melayu yang standard. Keadaan ini memerlukan guru menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dalam konteks ini guru perlu mendalami ilmu bahasa dan ilmu pendidikan agar selari dengan perkembangan semasa. Dengan pengetahuan bahasa dan ilmu pendidikan yang mendalam, para guru Bahasa Melayu akan dapat mendepani segala cabaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah serta menjadi pakar rujuk kepada rakan sekerja atau golongan yang memerlukan bantuan.
Selain itu, isu pengajaran Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu. Akibatnya, guru besar atau pengetua terpaksa meminta guru bukan opsyen untuk mengisi kekosongan ini. Dalam hal ini, Nik Safiah Karim (1980) berpendapat banyak guru yang bukan sahaja tidak dapat mengajar bahasa Melayu dengan baik, tetapi penguasaan bahasa Melayu mereka juga amat lemah. Jika ini berlaku, maka akan mewujudkan masalah dalam melahirkan pelajar yang benar-benar berketerampilan dari aspek penguasaan bahasanya. Lantaran itu, lahirlah masyarakat yang makin jahil tentang bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sendiri.
Krisis identiti “Bahasa Melayu” yang mengalami “penjenamaan semula” kepada “Bahasa Malaysia” secara tidak langsung telah mengikis kewibawaan bahasa itu sendiri. Perubahan demi perubah-an dari segi nama dengan mula menggunakan “Bahasa Melayu” kemudian menggunakan “Bahasa Malaysia”; kembali menggunakan “Bahasa Melayu” dan kini berbalik semula kepada nama “Bahasa Malaysia”, sedikit sebanyak mencemarkan imej bahasa kebangsaan ini dan mungkin mengelirukan pelajar dan masyarakat umum. Pihak berkenaan harus mengkaji semula “penjenamaan” ini bagi mengelakkan daripada mengelirukan pelajar. Persoalan yang bermain dalam minda pelajar ialah yang mana satu betul sama ada “bahasa Melayu” atau “bahasa Malaysia”
Seorang pelajar pernah berta-nya, adakah “kebudayaan Melayu” itu sama dengan “kebudayaan Malaysia”? Kemudian pelajar itu sendiri yang memberikan jawap-annya. Menurutnya, kebudayaan Malaysia merangkumi budaya semua kaum yang terdapat di negara ini. Justeru, ini bermakna bahasa Malaysia ialah bahasa-bahasa yang digunakan oleh semua kaum di Malaysia yang merangkumi bahasa yang dituturkan oleh orang Melayu, orang Tionghoa, iaitu bahasa Mandarin dan orang India, iaitu bahasa Tamil.
Justeru, dalam mendepani isu dan cabaran ini, pihak berwajib dan guru Bahasa Melayu harus bekerja keras dan membuat anjak-an dinamik untuk mengatasi cabaran yang getir ini bagi melestarikan dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp11julai8.pdf